Saturday, November 28, 2009

Cerita Motivasi buat anakku...

Sejarah persekolahan ummi bermula pada tahun 1977. Dahulu... ummi tidak pernah ke tadika. Maklumlah pada ketika itu, mana ada tadika di kampung. Kalau di bandar tu... mungkin ada. Kenangan yang tidak dapat ummi lupakan adalah dalam tahun 1. Dahulu dipanggil darjah 1. Pembelajaran ummi boleh dikatakan... ok juga kerana mendapat tempat ketiga di dalam kelas. Guru yang paling ummi ingat ialah cikgu Abu Bakar yang mengajar Bahasa Malaysia sehingga ummi dapat membaca dengan lancar. Balik dari sekolah, ummi tidak ketinggalan untuk mengulang kaji pelajaran. Selepas balik dari mengaji Al-Quran pada sebelah malam, maka kedengaran bunyi suara seorang kanak-kanak perempuan mengeja dan membaca di terangi cahara pelita atau lampu minyak tanah. Pada masa itu kampung kita mana ada bekalan elektrik lagi....

Tahun demi tahun berlalu, sudah sampai tahun 4. Ummi sangat aktif dalam bidang sukan pada masa itu. Walaupun baru dalam darjah 4, ummi sudah mewakili sekolah dalam permainan bola jaring dan olahraga sehinggalah ke tahun enam. Tahun 1982(darjah enam) merupakan tahun yang tidak dapat dilupakan, ummi telah terpilih untuk mewakili negeri Terengganu dalam permainan bola jaring di Perlis. Paling gembira ketika itu, pasukan kami telah dibiayai untuk menaiki kapal terbang untuk ke sana. Jadi dari Kuala Terengganu ke Kota Baru kami menaiki bas. Dari Kota Baru menaiki kapal terbang ke Alor Setar, Kedah dan dar Alor Setar, kami menaiki bas ke Perlis. Woi... seronoknya... budak kampung dapat naik kapal terbang.... bayangkanlah.... Tambah gembira lagi pasukan kami telah mendapat Johan kebangsaan. Semasa ummi dalam darjah enam jugalah, ummi di anugerahkan olahragawati terbaik di sekolah. Di samping itu, ummi juga merupakan solo kumpulan nasyid di sekolah.

Segelintir guru kurang senang dengan pembabitan ummi dalam bidang sukan kerana terlalu aktif dalam sukan menyebabkan pembelajaran ummi terganggu. Dalam peperiksaan penilaian darjah 5, ummi hanya mendapat keputusan 1A 3B 1C. Apabila di tahun enam, ummi berusaha dengan lebih gigih walaupun masih aktif dalam sukan. Dalam peperiksaan akhir, ummi telah mendapat tempat ketiga dalam keseluruhan tahun 6.

Di sekolah menengah, tok che' tidak membenarkan ummi untuk aktif dalam sukan. Katanya " Dah besar, tak payah main sukan, malu kat orang..." ummi akur dengan kehendak tok che'. Pembelajaran ummi juga agak membanggakan. Dalam peperiksaan SRP, ummi mendapat 12 aggeriget. Pencapaipaian yang agak baik jugalah pada ketika itu. Ummi juga dilantik sebagai pengawas sekolah selama 4 tahun berturut-turut sehingga ke tingkatan enam. Dalam peperiksaan SPM, ummi mendapat pangkat 1 tetapi ummi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke mana-mana universiti kerana tidak berminat dengan aliran yang ditawarkan. Ummi telah melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Selepas tingkatan enam pun, ummi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Pernah satu ketika, ummi menangis kerana jiran sebelah, kawan ummi dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Ketika itu, ummi berkata pada diri sendiri " Aku akan ke universiti suatu hari nanti," tapi... entah bila. Ummi memohon Maktab Perguruan beberapa kali tapi... tidak berhasil. Sehinggalah ummi berkahwin dalam tahun 1992 dan ketika itu, mungkin rezeki kahwin, ummi telah ditawarkan memasuki Maktab Perguruan. Setelah dua tahun setengah di maktab, ummi dihantar mengajar di Kuala Lumpur mengikut ayah. Sepuluh tahun ummi mengajar, tidak pernah terduga... ummi akan dilantik sebagai guru penolong kanan Hal Ehwal Murid (lantikan dalaman. Kepercayaan yang diberikan oleh guru besar ummi galas dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersyukur. Setelah tiga tahun memgang jawatan GPK HEM, ummi memohon untuk berkursus di IAB, Genting Highlands selama setahun. Dan ketika itu juga ummi telah ditawarkan ke Jawatan Hakiki. Alhamdulillah... rezeki yang tidak pernah ummi impikan... syukur kepada Allah. Tapi... ummi tidak pernah terfikir atau terlintas difikiran, apakah rahmat di sebalik semua ini.....

Selepas menamatkan kursus di IAB, ummi cuba memohon untuk memasuki UPSI. Ummi tidak tahu apakah nasib ummi kali ini... Tanggal 25 Jun 2009, ummi dikejutkan dengan sms yang dihantar oleh pihak UPSI yang mengatakan ummi telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di sana. Alhamdulillah... syukur kepada Allah di atas pemberianNya. Hasrat ummi selama hampir 20 tahun lalu telah hampir sampai ke garisannya... untuk memegang segulung ijazah... Doakan kejayaan ummi. Doakan ummi tabah melalui liku-liku yang akan diharungi... Ummi juga doakan kejayaan untuk anak ummi. Pesan ummi... rajinlah belajar, usaha dengan gigih, jangan lupa Allah dan bertawakkallah... InsyaAllah anakku akan berjaya suatu hari nanti.... Semoga cerita ummi ini akan menjadi inspirasi buat anakku..... dan juga anak-anak yang lain.

Cetusan rasa : Ummi...

Etika dan Moral, patut dijaga.....

Ulasan Filem “Bohsia”

1.0 Pengenalan

Filem sebagai cetusan kreativiti di dalam penyataan seni telah terbukti berupaya menghidupkan pelbagai pengalaman manusia di layar perak. Sama ada ia bersifat drama berat, komedi atau fantasi, filem berupaya menonjolkan falsafah pemikiran dan ’World view’ sesuatu masyarakat. Gabungan tenaga daripada pengarah, penulis skrip, penyunting, lakon layar, juru gambar bersama pelakon-pelakon utama dan sampingan serta sisipan latar muzik memberi ruang untuk menyelongkar daya cipta sejauh yang mungkin (Mahzan Musa, 1983).

Filem sebagai media dan saluran komunikasi tidak lagi terikat dengan peranan hiburan konvensional semata-mata. Jauh daripada itu kewujudan dan penghasilan filem telah membuktikan ia mendidik, merangsangkan pemikiran dan mempengaruhi tingkah laku masyarakat. Dalam konteks ini, filem-filem Melayu yang telah dihasilkan sejak bermula era industri filem tempatan telah menyalurkan pelbagai maklumat, isu, amanat, nasihat, sindiran kepada setiap lapisan masyarakat dari pelbagai tema dan jalan cerita melalui watak-watak yang dilakonkan. Sebagai contohnya, filem yang diarahkan oleh Allahyarham P. Ramlee seperti Ibu Mertuaku dan Anakku Sazali telah membawa masalah perhubungan kekeluargaan. Dalam jangka masa yang singkat fikiran penonton dirangsang, diajak untuk sama-sama merenung dan berfikir.

Filem mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat. Oleh itu setiap karyawan harus mempunyai tanggungjawab yang besar agar filem tidak merosakkan tatasusila bangsa dan budaya(Rohani Hashim, 1996). Filem Melayu hari ini melibatkan banyak pengarah muda seperti Ahmad Idham, Syamsul Yusof, Farid Kamil dan banyak lagi.

Kebanyakkan filem Melayu sekarang banyak menggambarkan tentang senario masa kini seperti mat rempit, lumba haram,ragut, bohsia dan sebagainya. Timbul persoalan difikiran kita, realistikkah filem-filem sebegitu mampu menyedarkan masyarakat yang terlibat atau gejala-gejala sebegitu akan lebih berleluasa. Dalam filem ‘Bohsia’ ini banyak memaparkan adegan atau aksi yang negatif daripada yang positif. Babak-babak yang negatif ini jauh menyimpang daripada adab resam dan kesusilaan masyarakat kita. Keadaan ini telah menyebabkan orang memperlihatkan bahawa filem kita ini tidak bermoral dan beretika. Nilai-nilai murni tidak dititikberatkan untuk dijadikan contoh yang baik kepada masyarakat agar menjadi masyarakat yang tinggi akhlaknya. Sebagaimanana pandangan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang menyatakan filem Melayu tidak boleh sekadar menjadi naskhah hiburan atau komoditi perniagaan kerana filem turut berperanan menyebar elemen kebaikan supaya menjadi contoh.
Menurut Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah lagi, untuk melihat industri kreatif berkembang maju, kita tidak boleh melihat pada satu bidang sahaja. Industri ini melibatkan banyak bidang yang saling berkait seperti dunia kesusasteraan, seni budaya, seni teater, seni lukis, muzik dan teknologi multimedia.
Pensyarah Filem dan Penyiaran Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya ini tampil dengan satu pandangan yang berani. Katanya, penyakit atau sindrom sebenar yang mampu meruntuhkan filem sebagai satu institusi seni yang dihargai adalah sikap segelintir pembikin filem tempatan yang tidak menghormati dan tidak mengamalkan kaedah pembikinan filem secara intelektual dan konvensional.
Menurutnya lagi, Kewangan sebenarnya bukan penghalang utama bahkan skeptikal masyarakat juga bukan penyebab yang menentukan teori kejayaan atau kegagalan sesebuah filem. Penonton bersedia untuk ke panggung pada bila-bila masa asalkan bahan yang bakal disaksikan menjanjikan pengalaman luar biasa. Sebagai pemerhati perkembangan perfileman Malaysia, Abu Hassan merangkumkan beberapa punca yang berkembang menjadi barah sehinggakan meletakkan kondisi sesebuah filem dalam status yang tidak 'sihat'.

http://www.sinemamalaysia.com.my/main/clippingnews/Filem_kita_dan_kesakitan!_
2556 Ogos 2009


2.0 Definisi Etika

Perkataan seperti “etika”, “beretika”, dan “moral “ bukan hanya didengari di dewan kuliah sahaja dan ianya tidak dimonopoli oleh para cendikiawan. Di luar kalangan intelektual juga sering dibicarakan mengenai hal-hal tersebut. Jika kita membuka surat khabar atau majalah, hampir setiap hari kita menemui kata-kata tersebut. Contohnya ” Dalam dunia perniagaan etika terus merosot”, ”Etika dan Moral perlu ditegaskan kembali”, Di televisyen akhir-akhir ini banyak iklan yang tidak beretika” dan sebagainya.

Etika berasal daripada perkataan Yunani, iaitu ethos yang bermaksud hukum, adat resam, kebiasaan dan budi pekerti. Perkataan yang terdekat ”etika” ialah ”moral” . Bahasa Latin yang banyak mewarisi budaya Yunani pula menggunakan perkataan mores yang bererti kebiasaan atau adat. Mores ialah kata dasar bagi ”moral” yang ditakrifkan sebagai kesusilaan, adab , sopan santun, tradisi dan sebagainya yang menentukan piawai atau norma kelompok.

Berdasarkan definisi ethos dan mores, orang kemoralan atau etika merupakan sesuatu yang berkaitan dengan peraturan masyarakat. Peraturan masyarakat biasa juga dimaksudkan sebagai tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang larang masyarakat. Walau bagaimanapun, peraturan masyarakat wujud di luar diri individu. Peraturan juga bersifat maujud atau konkrit serta ditetapkan oleh autoriti dalam masyarakat tersebut.

Sebaga contohnya, peraturan masyarakat berkaitan konsep atau nilai berdikari, hormat menghormati, kasih sayang, kebersihan, saling bantu membantu, kerjasama, kesyukuran dan semangat bermasyarakat. Nilai atau peraturan ini ialah ukuran dan persetujuan masyarakat yang mesti diterima untuk menyekat perbuatan mencuri, sifat tamak, rasuah, kezaliman dan sebagainya. Nilai ini lebih mementingkan masyarakat, bukan individu sebagai matlamat etika atau kemoralan. Ini bermakna, dalam sesebuah masyarakat ada perkara yang diizinkan dan ada pula yang ditegah.

Istilah ”etika”, mengikut kamus lama dan kamus baru dapat disimpulkan kepada tiga erti berikut:

1. Kata ”etika” dapat digunakan dalam erti nilai dan norma moral yang menjadi pegangan seseorang atau sesuatu kelompok dalam mengatur tingkah lakunya. Contohnya, Jika seseorang membicarakan tentang ”etika agama Buddha”, ”etika Protestan”, maka tidak dimaksudkan ”ilmu”, melainkan erti pertama tadi. Ianya juga dapat dirumuskan sebagai ”sistem nilai” yang dapat berfungsi dalam hidup manusia individu mahupun tahap sosial.

2. Kata ”etika” juga bererti kumpulan asas atau nilai moral. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kod etika. Contohnya, dahulu ada diterbitkan sebuah kod etika untuk hospital yang diberi nama ” Etika Hospital”. Di sini ”etika” jelas dimaksudkan sebagai kod etika.

3. Kata”etika” juga bererti ilmu tentang yang baik atau buruk. Etika baru menjadi ilmu jika kemungkinan beretika (asas nilai yang dianggap baik dan buruk) yang diterima dalam suatu masyarakat. Ianya seringkali tanpa disedari telah menjadi bahan gambaran bagi suatu kajian sistematik dan bermetod. Etika di sini sama ertinya dengan falsafah moral.


2.1 Etika Dari perspektif Agama

Agama dan etika merupakan dua bidang yang saling berkait dan berhubungan. Kedua-duanya mempunyai matamat dan objektif yang sama iaitu untuk memastikan manusia dapat bertingkah laku baik sesuai dengan fitrah dan kejadiannya. Perbezaan antara keduanya ialah agama lebih menekankan kepada perhubungan yang lebih menyeluruh iaitu sangat mementingkan hubungan dengan Tuhan dan sesama manusia. Manakala etika dan moral lebih bersifat spesifik dan mementingkan hubungan khusus sesama manusia.


3.0 Konsep Asas Nilai

Moral adalah suatu nilai. Kita perlu memahami apakah yang dimaksudkan dengan nilai. Terdapat beberapa ciri nilai. Antaranya, nilai ditonjolkan secara lisan atau menerusi perlakuan individu atau sesuatu kumpulan. Contohnya, sesorang yang menghayati nilai tanggungjawab akan menunjukkan nilai tersebut dalam pertuturan dan perlakuannya. Dia juga akan mempertahankan nilai tanggungjawab pada dirinya serta mengkritik orang lain yang bersikap tidak bertanggungjawab.

Nilai juga mempunyai beberapa fungsi. Salah satu daripada fungsinya ialah nilai bertindak sebagai ukuran yang membantu individu mengenal pasti kedudukannya dalam sesuatu isu sosial atau moral. Nilai bukan sahaja memberi suatu tunjuk arah kepada seseorang tentang bagaimana dia patut berkelakuan terhadap orang lain, malah bagaimana untuk menentukan apakah yang harus dicabar, dihujah, diubah atau dipertahan. Tegasnya, nilai menyediakan satu piawai yang asas dan tekal(consistent) supaya dapat membantu individu dalam pemikiran dan perlakuannya(Feather, 1975; Rokeach, 1973) dalam (Abdul Rahman Md. Aroff,1999).

Selain daripada itu, nilai juga berfungsi sebagai satu panduan untuk menyelesaikan konflik serta membuat keputusan. Ini bermaksud, walaupun dalam situasi beberapa nilai mungkin berkonflik, keutamaan nilai seseorang itu akan membantunya menyelesaikan konflik yang dihadapi. Selain itu, nilai bukan hanya merangsang, malah menghadkan perlakuan seseorang. Ini bermaksud, sesorang itu akan bertindak mengikut nilainya sendiri dan tidak akan melakukan sesuatu yang dirasakan bercanggah dengan nilai yang dihayatinya.

Kita dapat membezakan sesuatu nilai berbanding nilai lain mengikut domain tertentu seperti berikut:

a) agama atau rohani (contoh: kesucian, kesyukuran)
b) ekonomi ( contoh: produktiviti, kejayaan)
c) estetika (contoh: keindahan, kejayaan)
d) intelek (contoh: cerdik, kreatif)
e) kebendaan dan fizikal (contoh: kesihatan, keselamatan)
f) moral (contoh: kejujuran, pemurah)
g) politik ( contoh: hak mengundi, patriotisme)
h) social (contoh: kejiranan, kepercayaan)


3.1 Perbezaan Nilai Moral dan Nilai Bukan Moral

Nilai moral merujuk nilai yang dianggap oleh individu atau kumpulan masyarakat sebagai nilai yang ’baik’ dan ’patut’ dari segi moral (Frankena, 1973) dalam (Abdul Rahman Md. Aroff,1999). Manakala nilai bukan moral dalam domain politik, ekonomi atau estetika, walaupun ’baik’, ia tiada kaitan dengan apa yang dianggap ’baik’ dan ’patut’ dari segi moral. Contohnya, nilai bertimbang rasa merupakan nilai moral, manakala nilai demokrasi ialah nilai politik. Kedua-duanya dianggap perkara baik.

Walau bagaimanapun, penting untuk difahami bahawa klasikal mengikut domain ini adalah fleksibel. Memang terdapat nilai moral yang berpunca darpada agama seperti tidak boleh bercakap bohong dan mencuri barang orang lain. Namun, nilai moral tidak meliputi semua nilai agama seperti kepercayaan dan meditasi. Selain itu, nilai moral sama dengan nilai sosial dari segi penggunaan isbat kepujian, kejian dan isyarat pertuturan lain yang menerima atau menolak perlakuan kita. Walau bagaimanapun, individu tidak akan bergantung kepada nilai sosial atau undang-undang dalam menentukan sama ada mencederakan seseorang adalah wajar atau salah dari segi moral. Berasaskan pentaakulan moral berhubung dengan kesan terhadap seseorang yang dicederakan , dengan tidak merujuk nilai sosial atau undang-undang, kita tidak akan mencederakan orang. Dalam konteks ini, persamaan dan perbezaan antara nilai moral dengan nilai bukan moral tertakluk kepada bagaimana sesuatu nilai itu digunakan oleh individu.


4.0 Sinopsis Filem ‘Bohsia’ (Jangan Pilih Jalan Hitam)

Filem ini mengisahkan mengenai kehidupan dua orang gadis yang bernama Tasha (lakonan Nabila Huda) dan Amy (lakonan Salina Saibi) yang menjadi mangsa kerakusan kekejaman manusia. Kehidupan kedua gadis ini tanpa pendidikan dan latar belakang keluarga yang sempurna. Tasha merupakan gadis yang menjadi mangsa perpecahan keluarga. Bapanya telah meninggalkannya bersama ibu dan ibunya mempunyai hubungan dengan ramai lelaki. Tasha telah dihalau keluar rumah oleh ibunya kerana sikap liarnya. Sementara Amy pula seorang gadis yang telah kehilangan ibu dan semenjak ibunya meninggal dunia, dia menjadi mangsa kebinatangan bapa kandungnya sendiri. Amy telah dirogol oleh bapanya Salleh (lakonan Nasir Bilal Khan) ketika dia masih di alam persekolahan. Bapa Amy seorang pemabuk dan ketagih bermain judi. Dia sanggup meminta wang daripada anaknya Amy untuk berjudi.

Kehidupan malang yang dialami oleh kedua gadis telah membuatkan Tasha dan Amy telah memilih untuk terjebak ke dalam dunia lumba haram motosikal yang sekaligus mengubah nasih kehidupan mereka. Tasha telah berkenalan dengan seorang lelaki yang bernama Mus ( lakonan Syamsul Yusof). Syamsul merupakan seorang Mat Rempit iaitu pelumba haram motosikal tetapi mempunyai sifat-sifat kemanusiaan dan baik hati. Amy pula mempunyai seorang kawan yang juga merupakaneorang pelumba haram motosikal iaitu Acai (lakonan Shaheizy Sham). Acai seorang pemuda yang mempunyai perwatakan kasar dan liar serta suka mengambil kesempatan terhadap ke atas kelemahan Amy.

Tasha dan Amy digelar perempuan ‘Bohsia’ kerana bebas bergaul dengan lelaki.
Kekasih lama Amy, Azam (lakonan Aaron Aziz, seorang bapa ayam telah muncul semula untuk memerangkap Amy supaya menjadi pelacur. Adik Azaml, Aishah (lakonan Diana Danielle) seorang yang berpelajaran tinggi dan mempunyai budi pekerti yang mulia. Aishah selalu berchatting dengan Mus tetapi masing-masing tidak mengenal antara satu sama lain. Setelah Mus mengetahui bahawa Aishah adalah seorang wanita yang berkerjaya , dia membohongi Aishah bahawa dia adalah seorang arkitek. Lama kelamaan Mus tidak sanggup berbohong lagi dengan Aishah setelah enam bulan berkenalan. Dia tidak mahu menipu Aishah dan ingin berterus terang secara ikhlas. Belum sempat Mus berbuat demikian, Aishah telah mengetahui siapa sebenarnya Mus. Aishah tidak mahu lagi berkawan dengan Mus kerana Mus telah menipunya dan Mus juga merupakan seorang Mat Rempit.

Setelah Mus mengetahui Aishah merupakan adik kepada Azam, seorang bapa ayam yang mencari gadis-gadis untuk dijadikan pelacur. Mus telah memberitahu Aishah tentang pekerjaan sebenar abangnya tetapi Aishah tidak mempercayainya. Lama kelamaan Aishah mengetahui pekerjaan sebenar abangnya dan membuatkan dirinya rasa kecewa.

Setelah Tasha mengetahui Mus telah keluar dengan Aishah, dia rasa kecewa dan memarahi Mus serta mencerca Aishah dengan kata-kata yang kesat. Mus naik marah lalu mengatakan Tasha hanyalah ”Bohsia’ baginya. Tasha kecewa dan mengambil dadah serta tidur dengan beberapa orang lelaki termasuklah Acai kawan Amy. Sementara Amy pula telah ditangkap oleh Azam dan dipaksa melacurkan diri.
Amy dapat melarikan diri dan pulang ke pangkuan ayahnya. Tetapi malangnya, setiba di rumah, ayahnya pula ingin merogolnya. Amy cuba mempertahankan diri dan akhirnya tanpa disedari Amy telah menikam ayahnya. Sementara Mus pula telah ditangkap polis kerana membelasah Acai yang merosakkan kehidupan Tasha.


4.1 Barisan Pelakon Filem ’Bohsia’

Salina Saibi sebagai Amy
Nabila Huda sebagai Tasha
Syamsul Yusof sebagai Mus
Shaheizy Sam sebagai Acai
Aaron Aziz sebagai Azam
Londo Zawawi sebagai Lan
Johan Lawak sebagai Din
Hani Julie sebagai Ros
Nasir Bilal Khan sebagai Salleh
Adam Corrie sebagai John
Kazar sebagai Boss Amy
Ifa Radziah sebagai Ibu Tasha
Bohsia 1 sebagai Raja Emmy Nazrin
Bohsia 11 sebagai Ellie
Bohjan 1 sebagai Boy
Bohjan 11 sebagai Fizi
Bohjan 111 sebagai Rock


5.0 Ulasan Filem ’Bohsia’ (Jangan Pilih Jalan Hitam)

FILEM Bohsia mempunyai jalan cerita menarik dan cukup dekat dengan jiwa penonton Malaysia. Malah mereka yang terbabit dalam perlumbaan haram seperti Mat Rempit dan Minah Rempit pasti menyukai filem arahan pengarah muda, Shamsul Yusuf ini. Tidak hairanlah mengapa kutipan filem ini berjaya mencecah RM3 juta dalam tempoh
lebih semingggu ditayangkan.

Walaupun filem ini mencecah jutaan ringgit , timbul perasaan tidak senang hati dan kecewa selepas menyaksikan filem ini. Filem ’Bohsia’ seolah-olah telah menjatuhkan maruah bangsa Melayu. Berbanding dengan filem-filem yang terdahulu, yang mengangkat dan mengagungkan bangsa Melayu seperti filem Hang Tuah.

Filem Bohsia banyak memaparkan babak-babak yang negatif bertentangan dengan etika dan moral masyarakat. Di antara babak-babak yang menunjukkan kesan negatif dan menyalahi tata susila masyarakat adalah seperti berikut:

1) Adegan pembunuhan yang terdapat dalam filem merupakan adegan yang ganas dan melampau. Sebagai contoh, babak 'anak bunuh bapa' yang menjadi penutup cerita Bohsia. Walaupun, pembunuhan itu tidak disengajakan dan tujuan melindungi dirogol bapa sendiri, namun babak itu keterlaluan dan penyelesaiannya perlu ditonjolkan dengan cara lebih bijak.

2) Aksi panas membabitkan lumba haram motosikal. Aksi sebegini merupakan aksi yang tidak bermoral dan beretika dalam masyarakat kita dan menjadi kesalahan dari segi undang-undang jalan raya. Babak perlumbaan haram motosikal ini dapat kita tontoni di sepanjang penceritaan ini. Para remaja akan lebih cenderung meniru aksi berbahaya yang ditonton itu untuk membuktikan kehebatan masing-masing tanpa mempedulikan keselamatan.

3) Filem ini juga memaparkan aksi-aksi ganas seperti pergaduhan, pertengkaran, ejek-mengejek dan saling salah menyalahi antara satu sama lain. Babak-babak ini akan dapat kita saksikan pada setiap pertemuan antara Amy dan Tasha. Begitu juga dengan babak pergaduhan Acai dengan Azam dan babak pergaduhan antara Acai dan Mus. Adegan-adegan sedemikian merupakan adegan yang tidak bermoral dan beretika. Ia juga menunjukkan kerosakan akhlak di kalangan muda mudi. Babak-babak pergaduhan ini seolah-olah menunjukkan nasyarakat hari ini tidak mempunyai pertimbangan dalam setiap tindak-tanduknya dan pergaduhan menjadi jalan penyelesaian.

4) Kelemahan dalam institusi masyarakat Melayu dengan jelas apabila kebanyakan babak menunjukkan pergaulan bebas remaja yang bertentangan agama dan budaya.

5) Selain daripada itu, filem ini juga menunjukkan adegan-adegan yang panas seperti aksi rogol dan juga pasangan muda mudi yang bebas melakukan apa saja yang menyalahi dari segi agama, etika dan moral masyarakat. Babak sedemikian dapat kita saksikan ketika Amy dan Tasha serta kawan-kawannya pergi ke disko. Apa yang membimbangkan, adegan-adegan ini akan menjadi satu yang mengasyikkan dan perasaan ingin mencuba akan timbul dalam diri penonton.

6) Pakaian-pakaian yang ditonjolkan dalam filem ini juga sungguh menjolok mata dan tidak senonoh. Lebih-lebih lagi sebagai Muslim, etika berpakaian mestilah dititik beratkan. Dalam filem ini memperlihatkan kepada kita muda-mudi berpakaian yang tidak sepatutnya dan melanggar kesopanan dan adat resam masyarakat kita.

7) Filem ini juga menunjukkan kelemahan remaja yang sanggup menggadai maruah diri apabila ditimpa kesedihan. Seperti dalam babak Tasha yang menggadaikan maruahnya kerana inginkan dadah untuk melepaskan rasa kecewanya terhadap Mus. Ini menunujukkan perbuatan tersebut adalah tidak bermoral terhadap masyarakat kerana perbuatan tersebut menyalahi daripada pemupukan penghayatan dan amalan nilai murni yang terdapat dalam agama, budaya dan adat resam masyarakat Malaysia.

8) Dalam filem ini menunjukkan wujudnya institusi keluarga yang lemah. Keluarga tidak mempedulikan anak-anak menyebabkan anak-anak terbiar dan kurang kasih sayang. Contohnya dalam babak ibu Tasha menghalau Tasha keluar dari rumah dan babak seorang bapa sanggup merogol anaknya sendiri. Adegan sedemikian tidak dapat diterima dalam masyarakat kita kerana sepatutnya ibu dan bapa menjadi pelindung kepada anak-anaknya bukannya memusnahkan kehidupan mereka.

9) ’Bohsia ’ juga memaparkan remaja yang berakhlak buruk, tidak menghormati orang tua dan sanggup memukul orang tua. Adegan ini dapat kita lihat ketika ayah Amy mencari Amy di tempat Amy dan kawan-kawannya berkumpul untuk meminta duit darinya. Tanpa berasa belas kasihan terhadap orang tua, Acai telah memukul ayah Amy. Dalam masyarakat kita, orang tua merupakan orang yang perlu dihormati.

10) Dalam filem ini juga menunjukkan kepada kita masyarakat yang tidak bermoral sanggup menjadi bapa ayam dan merosakkan masyarakatnya sendiri kerana mengejar kemewahan hidup. Watak ini dapat kita lihat melalui watak Azam dalam filem ’Bohsia’ ini yang ingin menjadikan Amy sebagai pelacur.

11) Selain daripada aksi-aksi panas, adegan-adegan yang menjolok mata dan pergaulan bebas muda-mudi, dalam filem Bohsia ini juga dapat kita lihat banyak berlakunya pencemaran bahasa, bahasa yang kasar, mencaruk dan perkataan berbaur lucah dipertuturkan. Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan dan merosakkan bahasa kita tetapi menunjukkan masyarakat kita tidak beretika, tidak bermoral dan tidak mengamalkan nilai-nilai murni. Antara dialog-dialog yang sedemikian adalah seperti berikut:

i) Tasha (Nabila Huda) telah menuturkan dialog ini pada Amy (Salina Saibi) ” Ni, apa hal ni minah sorang ni, tercangak macam orang bangang”
- Dialog ini diperkatakan pada awal penceritaan semasa di lokasi lumba
haram.

ii) ” Balak kau mana ?” tanya Amy kepada Tasha

iii) ” Suka hati akulah, gua nak roman tepi jalan ke, lu blah lah. ” Kata Tasha pada Lan

iv) ” Suka hati mak bapak dialah” Kata Amy kepada Acai

v) ” Eh, mangkuk tu buka game tak ajak aku.” Kata Mus kepada Lan

vi) ” Mangkuklah lu, bodoh betul!” Kata Mus kepada Lan

vii) ” Kau jangan nak beriya-iya sangat dengan balak lu tu, Balak kau tu pun bukan nakkan kau pun!..., kau tu penyedap dia saja tu!.... ” Kata Tasha pada Amy

viii) ” Suka hati aku nak jadi penyedap, kau tak sedap ke?”..... Kata Amy kepada Tasha.

ix) Pergaduhan berlaku di antara Amy dan Tasha. Amy berkata kepada Tasha ” Sial betul...”.

x) Pada masa yang sama Acai berkata ” Kalau nak gaduh, gaduhlah atas katil . Eh, eh, bukan apa, kalau gaduh atas katil, lembutlah sikit ”.

xi) Kata Tasha kepada Acai ” Kau cakap dengan penyedap kau tu, dia apa hal nak serang-serang gua?”

xii) ” Mampus kau” Kata Amy kepada Tasha

xiii) Semasa berada di pusat hiburan (disko), Mus berkata kepada Tasha
” Kau ni mangkuklah, tahu tak? Kau boleh biarkan saja mamat tu raba engkau semua, sedap saja kan!...”


xiv) Acai berkata kepada Amy setelah kalah dalam lumba haram, ” Aku kalah
tadi sebab jamban kau besar. Tahu tak tadi, bila aku bawa motor macam
bawa Astro pintu belakang kau tu!.... mana tak semput motor aku”.

xv) Semasa bapa Amy (Salleh) cuba merogol anaknya Amy, dia berkata
” Kalau aku tak tidur dengan kau pun, tak ada bezalah!...., Dekat luarpun
perangai kau macam syaitan ”.

xi) Semasa berlaku perang mulut antara Tasha dan Amy. Amy berkata
kepada Acai. ” Eh, kau banganglah, apasal kau tak belasah bohsia
katek tu!.....”

Penggunaan bahasa-bahasa yang sedemikian menunjukkan masyarakat kita menyalahi kehidupan masyarakat yang sebenar yang menjaga tatasusila ketika menuturkan sesuatu. Percakapan yang lemah lembut, berbudi bahasa, dan sopan santun merupakan nilai dan moral yang diamalkan dalam masyarakat kita. Jika kehidupan kita tidak mengikut nilai dan amalan tersebut maka ia dianggap tidak bermoral dan tidak beretika. James Hamming (1980) menyatakan bahawa masyarakat mestilah diterima sebagai kehidupan masyarakat.

Walaupun banyak adegan-adegan negatif yang terdapat dalam filem ‘Bohsia’ ini terdapat juga babak-babak yang mempamerkan perlakuan yang beretika, bermoral serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam filem ini. Ini dapat kita lihat melalui tingkah laku Aishah lakonan Diana Danielle yang melakonkan watak wanita yang lemah lembut, kuat berusaha dan baik hati serta sayangkan keluarga. Begitu juga dengan watak yang dimainkan oleh Mus lakonan Syamsul Yusof iaitu seorang Mat Rempit yang mempunyai hati yang ikhlas dan tidak suka mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Nilai-nilai positif ini dapat kita lihat melalui watak-watak berikut:

1) Watak wanita lemah lembut dapat kita perhatikan melalui lakonan Aishah. Dia merupakan wanita yang bersopan santun dalam gerak gerinya dan sangat bersopan ketika becakap dengan orang.

2) Aishah juga merupakan seorang wanita yang penyayang. Ini dapt kita lihat ketika babak abangnya Azam dipukul oleh Acai, dia sanggup meninggalkan pertemuan pertamanya dengan Mus apabila mendengar abangnya dipukul. Aishah juga tidak mempercayai apabila Mus mengatakan abangnya seorang bapa ayam dan sanggup meninggalkan Mus.

3) Watak Aishah dalam filem ’Bohsia’ menunjukkan seorang wanita yang kuat berusaha. Ini dapat kita saksikan melalui babak kekesalan Aishah terhadap abangnya yang menjadi bapa ayam kerana mengejar kemewahan sedangkan Aishah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar impiannya walaupun dia berasal dari keluarga yang susah.

4) Watak Aishah juga memperlihatkan kepada kita sebagai seorang yang ikhlas dan tidak malu untuk memohon maaf di atas kesalahannya. Babak ini dapat kita saksikan apabila Aishah mengundurkan kereta, tanpa disedari dia telah terlanggar Tasha ketika Tasha asyik bersembang dengan kawan-kawannya tanpa mempedulikan keadaan sekelilingnya.

5) Watak Ikhlas dan menghormati orang tua juga dapat kita lihat melalui sikap Mus. Mus seorang Mat Rempit tetapi dia menunjukkan sikapnya yang ikhlas dalam babak dia ingin berterus terang dengan Aishah siapa dia sebenarnya. Begitu juga dalam babak Acai memukul ayah Amy, Mus begitu marah dengan tindakan Acai.

6) Mus adalah seorang pemuda yang baik hati dan tidak mengambil kesempatan ke atas kelemahan orang lain. Babak ini dapat kita lihat di sepanjang perjalanan filem ini. Walaupun Mus baik dengan Tasha tetapi dia tidak pernah mengambil kesempatan di atas kelemahan Tasha.



6.0 Rumusan

Adalah menjadi tanggungjawab pengarah-pengarah filem untuk mengarah filem yang lebih memberi manfaat kepada masyarakat kita. Apa yang membimbangkan kita semua, babak-babak yang negatif ditonjolkan dalam sesebuah filem bukannya untuk dijadikan teladan bagi menghindarkan perkara tersebut tetapi sebaliknya menjadi ikutan kepada penonton contohnya aksi Mat Rempit ketika berlumba haram dan kehidupan muda-mudi yang bebas berfoya-foya.

Bagi menjaga maruah masyarakat kita dan memartabatkan filem kita, pengarah-pengarah filem diharapkan agar mengeluarkan filem yang bukan sahaja menghiburkan penonton tetapi boleh membuka minda masyarakat dan memberi contoh dan teladan yang baik untuk masyarakat itu sendiri. Sesuatu yang diluar penerimaan masyarakat adalah lebih baik diketepikan dan dielakkan agar ianya tidak mengganggu dan tidak diterima atau ditolak oleh peraturan sesebuah masyarakat.

Setiap filem yang dikeluarkan agar dapat memotivasikan masyarakat bukannya memberi contoh yang tidak baik kepada masyarakat. Peranan filem juga boleh mendidik masyarakat secara tidak formal melalui adegan-adegan yang mempunyai nilai dan moral yang baik. Ia boleh mendidik dari segi luaran dan juga dalaman masyarakat. Oleh itu, pengarah-pengarah filem diharapkan agar lebih bertanggung jawab untuk memenuhi kehendak-kehendak masyarakat demi menjaga kesusilaan, adat resam, dan akhlak yang baik yang akan mengharmonikan masyarakat bukannya mencari keuntungan semata-mata.

Tugasan PPB 2052
Oleh : Zalati Abdullah

BIBLIOGRAFI:

Abdul Rahman Md. Aroff (1999) , Pendidikan Moral- Teori Etika Amalan Moral,
Penerbit Universiti Putra Malaysia

Nazirmuddin Ahmad, Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang & Azita Yonus @ Ahmad(2005), Etika, Pustaka Salam Sdn. Bhd.

K. Bertens (2003), Etika dan Moral Untuk Pengajian Tinggi, Universiti Malaya

Mahzan Musa , Filem Melayu dan Mesej Sosial, Wings of Gold (Mac 1993)

Rohani Hashim, Memartabatkan Budaya Filem Melayu, Dewan Budaya (Ogos 1996)

http://www.sinemamalaysia.com.my/main/clippingnews/Filem_kita_dan_kesakitan!_ 2556
Ogos 2009

Thursday, November 5, 2009

KONSEP 1 MALAYSIA

"Satu Malaysia", Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" cogan kata ini selalu kedengaran di televisyen, radio dan juga di dada akhbar. Adakah kita semua sebagai masyarakat Malaysia faham dan tahu apa maknanya?... Ya, sebagai masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa sepatutnya mengambil tahu, mengupas dan mendalami apa yang dimaksudkan dengan "Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan"

Konsep “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abd. Razak apabila beliau dilantik ke jawatan itu 3 April lalu. Biasalah, itu tradisi Najib untuk memberikan nafas baru dalam pentadbirannya. Ketika Pak Lah dilantik menjadi Perdana Menteri dulu slogan yang dicanangnya ialah “Cemerlang, Gemilang, Terbilang”.

Konsep Satu Malaysia menyarankan rakyat Malaysia supaya lebih patriotik dan menumpahkan taat setia, kecintaan dan manabur bakti kepada negara. Negara Malaysia adalah satu, tiada dua dan tiada tiga. Justeru, kalau rakyat Malaysia yang lahir dan membesar di Malaysia tidak cintakan dan tidak mahu menabur bakti kepada negara tercinta lagi, apa nama warganegara dan kewarganegaraan.

Konsep Satu Malaysia juga menyeru semua rakyat bersatu-padu. Malaysia adalah satu. Semua rakyat dan bangsa di Malaysia perlu menganggap Malaysia adalah miliknya dan semua bangsa di Malaysia adalah rakyat Malaysia. Justeru, bersatulah untuk membangunkan Malaysia yang satu ini.

Konsep Satu Malaysia ini sebenarnya bukan susah untuk difahami pun. Berbanding dengan konsep Cemerlang, Gemilang, Terbilang konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan rasanya lebih praktikal, prakmatik dan jelas. Ia bukan konsep yang abstrak dan susah difahami.

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti. erdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah
Budaya kecemerlangan, Ketabahan, Rendah hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan dan Integriti.

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara. Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.
Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya. Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan. Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri. Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.

Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip. Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada. Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini. Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.
Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.

Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan dan kecemerlangan. Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran. Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.

Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin. Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan. Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama. Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.

Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang. Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan. Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.


Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut.

Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih. Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang. Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.
Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka. Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular. Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama. Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan. Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan, bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima dan berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan. Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan.

Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah. Kita hendaklah mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

Sebagai kesimpulannya, konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.


Bibliografi:

1. www.1Malaysia.com.my
2. Akhbar-akhbar tempatan

Wednesday, November 4, 2009

Program Peningkatan

Program Peningkatan KIA2M (Kelas Intervensi Awalan Membaca dan Menulis)

1.0 Pengenalan

Dalam era teknologi maklumat serta zaman siber dunia tanpa sempadan, setiap individu dalam masyarakat berusaha dan berlumba-lumba untuk mengguna dan mengaplikasikan kemudahan dan peralatan canggih yang ada dalam persekitaran mereka. Namun begitu, kemudahan ini besar kemungkinannya kurang bermanfaat kepada individu yang menghadapi masalah pembelajaran khususnya masalah membaca, menulis dan mengira (3M). Secara ringkasnya dapatlah dikatakan bahawa kemahiran 3M adalah sangat penting
biarpun betapa canggihnya sesuatu zaman itu.

Tugasan ini merupakan penerokaan terhadap kegagalan sebilangan besar murid menguasai kemahiran asas membaca dan menulis pada peringkat awal terutama di tahun satu dan juga murid-murid tahun dua hingga tahuan enam. Kegagalan menguasai kemahiran asas membaca dan menulis di kalangan murid-murid ini telah mengakibatkan berlakunya akademik defisit dalam kalangan murid sekolah rendah dan berterusan hingga ke sekolah menengah.

Bagi menanggani masalah menguasai kemahiran 3M ini, Pusat Perkembangan Kurikulum telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah ini. Bagi tujuan ini Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) diperkenalkan untuk murid tahun satu manakala murid tahun dua hingga enam pula dilibatkan dengan Kelas Pemulihan Khas. Objektif utama kelas KIA2M dan Kelas Pemulihan Khas ini dijalankan adalah diharapkan murid dapat menguasai kemahiran asas membaca dan menulis (KIA2M) serta kemahiran membaca, menulis dan mengira (kelas pemulihan 3M).

Adalah diharapkan murid-murid yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap kebolehan diri sendiri dapat meningkatkan keyakinan diri sendiri dan berminat untuk belajar.



2.0 Latar Belakang


Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan pada tahun1983, di samping menegaskan matlamat mengembangkan kebolehan murid secara menyeluruh dan penguasaan kemahiran asas 3M, juga menekankan perlunya memberi perhatian perbezaan individu murid kerana setiap murid itu adalah berbeza di antara satu dengan lain sama ada dari segi pengalaman , amalan tingkah laku kecenderungan, bakat dan kebolehannya. Untuk memenuhi keperluan-keperluan individu, maka KBSR menitikberatkan beberapa prinsip pedagogi pemulihan, pengayaan, penilaian berterusan, penggabungjalinan dan penyerapan.

Antara prinsip-prinsip pedagogi baru yang diperkenalkan oleh KBSR, yang paling penting dari pengurusan bilik darjah ialah pemulihan yang ditakrifkan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran pelajar dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira. Selain daripada pemulihan, KIA2M (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis) juga diperkenalkan untuk murid-murid tahun satu yang tidak menguasai kemahiran membaca dan menulis.

Kegagalan menguasai kemahiran asas membaca dan menulis pada peringkat awal terutama di Tahun Satu telah mengakibatkan berlakunya defisit adademik di kalangan murid sekolah rendah dan berterusan hingga ke sekolah menengah. Pelaksanaan “Pemulihan Dalam Kelas KBSR” kurang berupaya menangani masalah penguasaan membaca dan menulis dengan berkesan.

Dalam mesyuarat Memperkasakan Sekolah Kebangasaan pada 22 November 2005, satu ketetapan dibuat supaya masalah kegagalan menguasai kemahiran asas membaca dan menulis di kalangan murid tahun satu ditangani dengan segera. Sehubungan itu, Pusat Perkembangan Kurikulum telah dipertanggungjawabkan menerajui Kementerian Pelajaran untuk menyelesaikan masalah ini. Bagi tujuan tersebut program Kelas Intervensi Awalan Membaca dan Menulis atau KIA2M diperkenalkan.

Program ini bertujuan untuk memastikan murid-murid tahun satu boleh menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Dalam masa tiga bulan mengikuti program ini, murid di Sekolah Kebangsaan diperuntukkan sebanyak sembilan belas waktu seminggu untuk mempelajari Bahasa Melayu. Waktu yang diperuntukkan ini khusus untuk murid belajar asas membaca dan menulis. Sembilan belas waktu ini ialah dua belas waktu Bahasa Melayu, tiga waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, dua waktu Pendidikan Muzik dan dua waktu Pendidikan Seni. Senarai kemahiran yang dimuatkan dalam program ini merupakan senarai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu.

Dalam konteks pelaksanaan KIA2M, kemahiran asa yang disenaraikan terbahagi kepada dua, iaitu kemahiran teras dan kemahiran lanjutan. Kemahiran teras merupakan kemahiran wajib yang perlu diajar kepada murid untuk membolehkan mereka menguasai kemahiran yang paling penting dalam membaca dan menulis. Kemahiran ini terdiri daripada mengenal, membaca dan menulis huruf ’a’ hingga ’z’, kemahiran membentuk suku kata daripada huruf konsonan dan vokal, dan juga kemahiran membina, membaca dan menulis perkataan yang terdiri daripada suku kata terbuka dan tertutup. Murid yang telah menguasai kemahiran membaca huruf, suku kata dan perkataan dalam kemahiran teras ini akan dapat mempelajari dan menguasai kemahiran lanjutan dengan lebih mudah. Kemahiran lanjutan pula bertujuan untuk membekalkan murid dengan kemahiran asas tabahan yang diperlukan bagi membolehkan murid membaca dan menulis dengan baik dan berkesan. Guru boleh memilih dan menentukan kemahiran mengikut kesesuaian dan kemampuan murid yang mengikuti program ini.

Bagi membolehkan murid cepat menguasai kemahiran yang diajar, alat bantu mengajar amat penting dan perlu dipelbagaikan agar pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Pelbagai pendekatan dan teknik boleh digunakan supaya dapat mengurangkan kebosanan murid semasa belajar.



KIA2M ini dijalankan sepenuh masa oleh guru Bahasa Melayu Tahun Satu bagi murid-murid yang gagal melepasi tahap minimum mengikut skor yang telah ditetapkan dalam ujian Penapisan yang dijalankan pada awal tahun. (Buku Panduan, Pelaksanaan Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis Tahun 1, KPM , 2006)

Walaupun kelas KIA2M yang diperkenalkan untuk memastikan semua murid tahun satu dapat menguasai kemahiran asas membaca dan menulis pada akhir tahun satu tetapi masih terdapat murid-murid yang tidak melepasi ujian pelepasan yang dijalankan menyebabkan murid-murid ini dimasukkan ke Kelas Pemulihan Khas apabila berada di dalam tahun dua dan seterusnya sehingga mereka betul-betul menguasai 3M. Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyarankan supaya memantapkan lagi kelas pemulihan 3M yang dikenali sebagai ”Kelas Intensif Khas” untuk murid-murid yang masih tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira yang telah ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Muhyidin Yassin bagi murid-murid tahun dua hingga tahun enam.

Satu hakikat yang pasti, masyarakat tetap mengukur dan menilai sekolah dengan kayu ukur mereka sendiri iaitu sesebuah sekolah itu dikatakan berjaya dan berkesan jika prestasi akademiknya tinggi. Sekolah yang rendah prestasi akademiknya adalah sekolah yang lemah dan kurang berjaya. Dengan kata lain, tinggi atau rendahnya sesebuah sekolah pada pandangan pelanggan dan ’ stake holder’ pendidikan ialah prestasi akademiknya. Tinggi atau rendahnya keyakinan masyarakat terhadap sesebuah sekolah bergantung kepada tinggi atau rendahnya pencapaian akademik dalam peperiksaan awam.

Jika sesebuah sekolah itu mempunyai ramai murid yang tidak menguasai 3M maka sekolah tersebut tidak mungkin akan mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang. Oleh itu pengurus sekolah mesti berbuat sesuatu untuk memulihkan keadaan ini bukan sahaja untuk murid-murid yang menghadapi tahun peperiksaan sahaja tetapi ianya hendaklah bermula pada tahun satu lagi.


Program Peningkatan Pencapaian KIA2M adalah merupakan program utama atau projek yang besar untuk memastikan murid-murid ini dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis. Sebelum murid-murid tahu satu ini di tempatkan di kelas-kelas tertentu, mereka dikenakan menjalani ujian penapisan. Selepas ujian penapisan dijalankan, murid-murid yang melepasi ujian tersebut akan dimasukkan ke kelas KIA2M. Murid-murid KIA2M ini akan diuji lagi dengan ujian pelepasan 2 dan 3 pada bulan Jun dan Oktober.

Dengan adanya Program KIA2M ini, pihak sekolah juga dapat mengesan murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran dan pihak sekolah dengan sokongan ibu bapa akan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya. Murid-murid yang dikesan mempunyai permasalahan pembelajaran seperti ’slow learner’,’down syndrom’ , disleksia dan sebagainya akan dinasihati untuk membuat pemeriksaan doktor bagi memastikan tahap kesihatan mereka dan di manakah mereka sepatutnya di tempatkan samada di Sekolah Kebangsaan atau di Sekolah Bermasalah Pembelajaran.


3.0 Kepentingan Menguasai Asas Membaca
Dan Menulis

Kemahiran membaca merupakan aspek yang sangat penting dalam menguasai sesuatu ilmu pengetahuan. Seseorang yang mempunyai kemahiran membaca dengan mudah dapat memperolehi serta meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Sehubungan itu kemahiran asas yang diajar di sekolah, sejak zaman berzaman yang lalu, ialah menguasai kemahiran membaca dan menulis. Para pendidik bersetuju bahawa membaca merupakan petanda pencapaian akademik yang paling signifikan.

Namun begitu, walaupun penekanan diberikan terhadap kemahiran-kemahiran tersebut, sehingga kini masih terdapat murid-murid yang tidak dapat menguasai kemahiran tersebut. Keadaan ini tidak dapat dipandang ringan kerana dalam zaman globalisasi ini, dengan perubahan yang mendadak dari segala aspek kehidupan, pendidikan terus berperanan bukan sahaja sekadar untuk mencelikkan mereka yang buta huruf dan buta angka, tetapi turut berperanan untuk mencelikkan generasi muda kita yang buta IT, buta jati diri, buta budaya, buta nilai, budi bahasa dan sopan santun. (Majalah Pendidik Bil 55/ Dis 2008)

Agama Islam sangat menitikberatkan tentang kepentingan menuntut ilmu. Dalam ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis banyak memperkatakan tentang orang yang berilmu dibandingkan dengan mereka yang tidak berilmu. Surah yang pertama di dalam Al Quran yang diturunkan melalui malaikat Jibril di Gua Hirak kepada Rasulullah s.a.w iaitu surah Al Alaq, yang membawa maksud :
“Bacalah (ya Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan. Telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu amat pemurah, yang mengajarkan (menulis) dengan pena, yang mengajarakan kepada manusia apa-apa yang tiada diketahuinya………”(Surah Al-Alaq:1-5)
Melalui surah ini, penekanan diberikan tentang pentingnya seseorang itu mempunyai kemahiran membaca dan menulis dan seterusnya berkewajipan untuk menuntut ilmu.

Pihak Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan beberapa program di sekolah antaranya program KIA2M atau Kelas Intervensi Awalan Membaca dan Menulis serta program pemulihan bagi memastikan murid-murid dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis sejak di peringkat awal lagi. Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian yang dilakukan didapati masih terdapat sebilangan murid-murid yang masih belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis sepenuhnya walaupun ada di antara mereka telah berada di tahap dua iaitu di darjah 4, 5 dan 6.

Dalam situasi pendidikan negara, mencapai kemahiran literasi dinyatakan secara jelas dalam Dasar Pendidikan Rendah Negara. Antara matlamat yang ingin dicapai ialah untuk menyediakan asas yang kukuh dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) kemahiran berfikir, konsep asas sains dan rekreasi serta penerapan nilai-nilai murni” (Dasar Pendidikan Kebangsaan, 2004). Berpandukan dasar tersebut, kanak –kanak di negara ini seharusnya telah menguasai kemahiran asas 3M pada peringkat sekolah rendah lagi. Dasar ini sekiranya dilaksanakan dengan jayanya akan menjadikan rakyat Malaysia mencapai tahap literasi hampir 100%, kerana dalam system pendidikan Negara, semua kanak-kanak di Negara ini diwajibkan mengikuti pendidikan asas di sekolah rendah selama enam tahun. Persoalannya ialah adakah Dasar Pendidikan Rendah Negara telah dapat dilaksanankan dengan berkesan?

Beberapa kajian lepas menunjukkan tahap penguasaan 3M bagi setiap murid adalah berbeza dan masih terdapat murid yang tidak menguasai 3M walaupun mereka telah berada pada peringkat pendidikan sekolah menengah (Aminah Ahmad1984; Salmah Hassan, 1988; Maznah Maarof, 1992; Zulbaharen Ahmad, 1997; dan Mohd Burhan Ibrahim,2005). Sekiranya faktor penyumbang terhadap tahap literasi murid tidak dikenal pasti dan diatasi segera, ia akan memberi kesan yang berpanjangan terhadap keupayaan dan kebolehan murid membaca dan menulis pada tahap yang mencukupi untuk melalui program-program pendidikan di peringkat yang lebih tinggi dengan lebih berkesan. Situasi ini sekiranya berlanjutan akan memberi impak yang buruk terhadap Negara dan menjejaskan hasrat melahirkan masyarakat berpengetahuan dan membangunkan modal insan yang berkualiti. (Kertas Kerja Seminar Pnyelidikan Pendidikan Kebangsaan ke XIV 2007 “Penyelidikan Memartabatkan Profesion Keguruan”)

Kelemahan atau kegagalan literasi juga berkait rapat dengan pencapaian akademik murid dan isu keciciran murid. Peterson (2001) mendapati apabila seorang murid mengalami masalah literasi di peringkat rendah, keadaan kekurangan ini akan bertambah apabila beliau meningkat dalam persekolahannya. Murid ini juga berisiko tinggi tercicir dari sistem persekolahan kerana tidak dapat dibantu dalam mengikuti isi mata pelajaran yang diperlukan untuk berjaya di peringkat yang lebih tinggi.


3.1 Kelas Intervensi Asas Membaca Dan Menulis
(KIA2M)

Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) bertujuan untuk membantu murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun satu. Kumpulan murid ini adalah terdiri daripada mereka yang lambat atau belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Mereka ini bukan hanya terdiri daripada murid pemulihan khas tetapi juga dari kalangan murid yang hanya perlukan pemulihan dalam kelas. Oleh itu strategi pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan perlulah sesuai dengan keperluan untuk membantu murid ini menguasai kemahiran asas ini dengan seberapa segera yang boleh. Strategi berikut boleh digunakan mengikut kesesuaian;

a. Berpusatkan Guru
Guru merancang dan menjalankan tugas secara individu dan murid akan belajar berdasarkan apa yang disampaikan dan diarahkan oleh guru sahaja.

b. Berpusatkan Murid
Murid diberi galakan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dirancangkan sama ada secara individu, kumpulan kecil ataupun kelas.

c. Berpusatkan Bahan
Bahan-bahan pembelajaran yang diperlukan telah disusun, sesuai dengan perancangan yang dibuat. Murid diberi penerangan yang jelas tentang keperluan aktiviti yang akan dijalankan.

Pendekatan
Dalam pelaksanaan Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M), pendekatan secara kelas, kumpulan dan juga individu perlu digunakan mengikut kesesuaian dari segi kebolehan murid, aktiviti yang dirancang dan juga kemahiran yang hendak diajar.


a. Pendekatan secara kelas
Pendekatan secara kelas perlu juga dijalankan supaya murid dapat melibatkan diri dan meningkatkan keyakinan diri dalam aktiviti berkumpulan yang lebih besar. Aktiviti ini lebih sesuai dijalankan di awal dan di akhir waktu belajar.

b. Pendekatan secara berkumpulan
Konsep pengajaran dan pembelajaran berkumpulan berasaskan kepada perubahan strategi pengajaran yang berpusatkan guru kepada strategi yang berpusatkan murid. Kumpulan kecil yang ahlinya terdiri daripada murid yang menghadapi masalah yang sama atau hampir sama dibentuk. Guru menjalankan pengajaran dengan menggunakan modul pengajaran yang disediakan.

c. Pendekatan secara individu
Guru menumpukan perhatian kepada murid secara individu bagi membantu membimbing untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Selain itu bantuan daripada rakan sebaya juga boleh digunakan jika perlu.

Teknik

Pengendalian suatu perancangan untuk menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk mencapai sesuatu objektif. Tujuan menggunakan pelbagai teknik adalah untuk menarik minat, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu murid untuk mencapai objektif pengajaran guru. Antara teknik pengajaran bahasa yang dicadangkan ialah:
* teknik bercerita * teknik menyanyi
* teknik latih tubi * teknik lakonan
* teknik tunjuk cara * teknik kuiz
* teknik bersoal jawab
* teknik main peranan

Rancangan Pengajaran Secara Kumpulan
Kumpulan Cepat Sederhana lambat
Langkah 1 Interaksi guru Secara kelas Secara kelas
Langkah 2 kerja bertulis Interaksi guru Secara kumpulan kecil
Langkah 3 Pengukuhan Kerja bertulis Interaksi guru secara individu

Bahasa Melayu Merentas Kurikulum
Fokus KIA2M adalah untuk membolehkan murid menguasai kemahiran asas Bahasa Melayu secara intensif. Oleh itu konsep pengajaran Bahasa Melayu merentas kurikulum mestilah dijalankan sepenuhnya dengan menggunakan strategi penggabungjalinan. Subjek-subjek Pendidikan Jasmani Kesihatan, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran dalam Bahasa Melayu.

Pendidikan Jasmani Kesihatan:
1. Pergerakan menggunakan abjad, suku kata dan perkataan.
2. Permainan dalaman - dam abjad, suku kata, perkataan.
3. Lambung dan sambut pundi kacang/ bola berabjad/ suku kata.

Pendidikan Muzik:
1. Nyanyi Lagu - lagu abjad, mengeja, kanak-kanak.
2. Pergerakan berirama
3. Bunyi-bunyian berirama

Pendidikan Seni:
1. Binaan - menggunakan "play dough', plastesin dsb. membentuk abjad.
2. Catan - melukis bentuk-bentuk abjad, suku kata.
3. Capan - mengecap bentuk.
4. Tampalan - menampal bentuk abjad dan kolaj.

Projek yang dijalankan semasa Program Sandaran NPQEL
Januari hingga Jun 2009 di SK Batu Muda, Kuala Lumpur
by Zalati Abdullah

Bibliografi:

Abdulah Hassan & Ainon Mohd., Guru Sebagai Pendorong Dalam Darjah , PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. , Pahang Darul Makmur., 2004

Abdullah Sani Yahaya, Mengurus Sekolah, PTS Publcations & Distributor Sdn. Bhd. 2003

Christopher Bowring-carr John West – Burnham, Pembelajaran Berkesan di Sekolah, Annuar Ayub (penterjemah), Ampanf Press Sdn. Bhd. K.L., 1999

Hussein Mahmood, Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008

Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib, Pengajaran Dalam Bilik Darjah – Kaedah dan Strtegi, Masa Enterprise 1995

Tn. Haji Mohd Hamidi bin Hj. Abdul Hamid, Pengurusan Sekolah Cemerlang Menurut Islam , Percetakan Zahar Sdn. Bhd. 2002

Buku Panduan Pelaksanaan Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis Tahun 1,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Senarai Kemahiran Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) Tahun 1, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia

http://www.scribd.com/doc/4853628/KIA2M

http://www.scribd.com/doc/2064597/Corak-dan-gaya-pembelajarankajian-tindakan

Sekolahku Rumahku





Pemimpin pun kena turun padang.......