Saturday, November 28, 2009

Cerita Motivasi buat anakku...

Sejarah persekolahan ummi bermula pada tahun 1977. Dahulu... ummi tidak pernah ke tadika. Maklumlah pada ketika itu, mana ada tadika di kampung. Kalau di bandar tu... mungkin ada. Kenangan yang tidak dapat ummi lupakan adalah dalam tahun 1. Dahulu dipanggil darjah 1. Pembelajaran ummi boleh dikatakan... ok juga kerana mendapat tempat ketiga di dalam kelas. Guru yang paling ummi ingat ialah cikgu Abu Bakar yang mengajar Bahasa Malaysia sehingga ummi dapat membaca dengan lancar. Balik dari sekolah, ummi tidak ketinggalan untuk mengulang kaji pelajaran. Selepas balik dari mengaji Al-Quran pada sebelah malam, maka kedengaran bunyi suara seorang kanak-kanak perempuan mengeja dan membaca di terangi cahara pelita atau lampu minyak tanah. Pada masa itu kampung kita mana ada bekalan elektrik lagi....

Tahun demi tahun berlalu, sudah sampai tahun 4. Ummi sangat aktif dalam bidang sukan pada masa itu. Walaupun baru dalam darjah 4, ummi sudah mewakili sekolah dalam permainan bola jaring dan olahraga sehinggalah ke tahun enam. Tahun 1982(darjah enam) merupakan tahun yang tidak dapat dilupakan, ummi telah terpilih untuk mewakili negeri Terengganu dalam permainan bola jaring di Perlis. Paling gembira ketika itu, pasukan kami telah dibiayai untuk menaiki kapal terbang untuk ke sana. Jadi dari Kuala Terengganu ke Kota Baru kami menaiki bas. Dari Kota Baru menaiki kapal terbang ke Alor Setar, Kedah dan dar Alor Setar, kami menaiki bas ke Perlis. Woi... seronoknya... budak kampung dapat naik kapal terbang.... bayangkanlah.... Tambah gembira lagi pasukan kami telah mendapat Johan kebangsaan. Semasa ummi dalam darjah enam jugalah, ummi di anugerahkan olahragawati terbaik di sekolah. Di samping itu, ummi juga merupakan solo kumpulan nasyid di sekolah.

Segelintir guru kurang senang dengan pembabitan ummi dalam bidang sukan kerana terlalu aktif dalam sukan menyebabkan pembelajaran ummi terganggu. Dalam peperiksaan penilaian darjah 5, ummi hanya mendapat keputusan 1A 3B 1C. Apabila di tahun enam, ummi berusaha dengan lebih gigih walaupun masih aktif dalam sukan. Dalam peperiksaan akhir, ummi telah mendapat tempat ketiga dalam keseluruhan tahun 6.

Di sekolah menengah, tok che' tidak membenarkan ummi untuk aktif dalam sukan. Katanya " Dah besar, tak payah main sukan, malu kat orang..." ummi akur dengan kehendak tok che'. Pembelajaran ummi juga agak membanggakan. Dalam peperiksaan SRP, ummi mendapat 12 aggeriget. Pencapaipaian yang agak baik jugalah pada ketika itu. Ummi juga dilantik sebagai pengawas sekolah selama 4 tahun berturut-turut sehingga ke tingkatan enam. Dalam peperiksaan SPM, ummi mendapat pangkat 1 tetapi ummi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke mana-mana universiti kerana tidak berminat dengan aliran yang ditawarkan. Ummi telah melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Selepas tingkatan enam pun, ummi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Pernah satu ketika, ummi menangis kerana jiran sebelah, kawan ummi dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Ketika itu, ummi berkata pada diri sendiri " Aku akan ke universiti suatu hari nanti," tapi... entah bila. Ummi memohon Maktab Perguruan beberapa kali tapi... tidak berhasil. Sehinggalah ummi berkahwin dalam tahun 1992 dan ketika itu, mungkin rezeki kahwin, ummi telah ditawarkan memasuki Maktab Perguruan. Setelah dua tahun setengah di maktab, ummi dihantar mengajar di Kuala Lumpur mengikut ayah. Sepuluh tahun ummi mengajar, tidak pernah terduga... ummi akan dilantik sebagai guru penolong kanan Hal Ehwal Murid (lantikan dalaman. Kepercayaan yang diberikan oleh guru besar ummi galas dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersyukur. Setelah tiga tahun memgang jawatan GPK HEM, ummi memohon untuk berkursus di IAB, Genting Highlands selama setahun. Dan ketika itu juga ummi telah ditawarkan ke Jawatan Hakiki. Alhamdulillah... rezeki yang tidak pernah ummi impikan... syukur kepada Allah. Tapi... ummi tidak pernah terfikir atau terlintas difikiran, apakah rahmat di sebalik semua ini.....

Selepas menamatkan kursus di IAB, ummi cuba memohon untuk memasuki UPSI. Ummi tidak tahu apakah nasib ummi kali ini... Tanggal 25 Jun 2009, ummi dikejutkan dengan sms yang dihantar oleh pihak UPSI yang mengatakan ummi telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di sana. Alhamdulillah... syukur kepada Allah di atas pemberianNya. Hasrat ummi selama hampir 20 tahun lalu telah hampir sampai ke garisannya... untuk memegang segulung ijazah... Doakan kejayaan ummi. Doakan ummi tabah melalui liku-liku yang akan diharungi... Ummi juga doakan kejayaan untuk anak ummi. Pesan ummi... rajinlah belajar, usaha dengan gigih, jangan lupa Allah dan bertawakkallah... InsyaAllah anakku akan berjaya suatu hari nanti.... Semoga cerita ummi ini akan menjadi inspirasi buat anakku..... dan juga anak-anak yang lain.

Cetusan rasa : Ummi...

No comments:

Post a Comment