Saturday, November 28, 2009

Etika dan Moral, patut dijaga.....

Ulasan Filem “Bohsia”

1.0 Pengenalan

Filem sebagai cetusan kreativiti di dalam penyataan seni telah terbukti berupaya menghidupkan pelbagai pengalaman manusia di layar perak. Sama ada ia bersifat drama berat, komedi atau fantasi, filem berupaya menonjolkan falsafah pemikiran dan ’World view’ sesuatu masyarakat. Gabungan tenaga daripada pengarah, penulis skrip, penyunting, lakon layar, juru gambar bersama pelakon-pelakon utama dan sampingan serta sisipan latar muzik memberi ruang untuk menyelongkar daya cipta sejauh yang mungkin (Mahzan Musa, 1983).

Filem sebagai media dan saluran komunikasi tidak lagi terikat dengan peranan hiburan konvensional semata-mata. Jauh daripada itu kewujudan dan penghasilan filem telah membuktikan ia mendidik, merangsangkan pemikiran dan mempengaruhi tingkah laku masyarakat. Dalam konteks ini, filem-filem Melayu yang telah dihasilkan sejak bermula era industri filem tempatan telah menyalurkan pelbagai maklumat, isu, amanat, nasihat, sindiran kepada setiap lapisan masyarakat dari pelbagai tema dan jalan cerita melalui watak-watak yang dilakonkan. Sebagai contohnya, filem yang diarahkan oleh Allahyarham P. Ramlee seperti Ibu Mertuaku dan Anakku Sazali telah membawa masalah perhubungan kekeluargaan. Dalam jangka masa yang singkat fikiran penonton dirangsang, diajak untuk sama-sama merenung dan berfikir.

Filem mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat. Oleh itu setiap karyawan harus mempunyai tanggungjawab yang besar agar filem tidak merosakkan tatasusila bangsa dan budaya(Rohani Hashim, 1996). Filem Melayu hari ini melibatkan banyak pengarah muda seperti Ahmad Idham, Syamsul Yusof, Farid Kamil dan banyak lagi.

Kebanyakkan filem Melayu sekarang banyak menggambarkan tentang senario masa kini seperti mat rempit, lumba haram,ragut, bohsia dan sebagainya. Timbul persoalan difikiran kita, realistikkah filem-filem sebegitu mampu menyedarkan masyarakat yang terlibat atau gejala-gejala sebegitu akan lebih berleluasa. Dalam filem ‘Bohsia’ ini banyak memaparkan adegan atau aksi yang negatif daripada yang positif. Babak-babak yang negatif ini jauh menyimpang daripada adab resam dan kesusilaan masyarakat kita. Keadaan ini telah menyebabkan orang memperlihatkan bahawa filem kita ini tidak bermoral dan beretika. Nilai-nilai murni tidak dititikberatkan untuk dijadikan contoh yang baik kepada masyarakat agar menjadi masyarakat yang tinggi akhlaknya. Sebagaimanana pandangan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang menyatakan filem Melayu tidak boleh sekadar menjadi naskhah hiburan atau komoditi perniagaan kerana filem turut berperanan menyebar elemen kebaikan supaya menjadi contoh.
Menurut Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah lagi, untuk melihat industri kreatif berkembang maju, kita tidak boleh melihat pada satu bidang sahaja. Industri ini melibatkan banyak bidang yang saling berkait seperti dunia kesusasteraan, seni budaya, seni teater, seni lukis, muzik dan teknologi multimedia.
Pensyarah Filem dan Penyiaran Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya ini tampil dengan satu pandangan yang berani. Katanya, penyakit atau sindrom sebenar yang mampu meruntuhkan filem sebagai satu institusi seni yang dihargai adalah sikap segelintir pembikin filem tempatan yang tidak menghormati dan tidak mengamalkan kaedah pembikinan filem secara intelektual dan konvensional.
Menurutnya lagi, Kewangan sebenarnya bukan penghalang utama bahkan skeptikal masyarakat juga bukan penyebab yang menentukan teori kejayaan atau kegagalan sesebuah filem. Penonton bersedia untuk ke panggung pada bila-bila masa asalkan bahan yang bakal disaksikan menjanjikan pengalaman luar biasa. Sebagai pemerhati perkembangan perfileman Malaysia, Abu Hassan merangkumkan beberapa punca yang berkembang menjadi barah sehinggakan meletakkan kondisi sesebuah filem dalam status yang tidak 'sihat'.

http://www.sinemamalaysia.com.my/main/clippingnews/Filem_kita_dan_kesakitan!_
2556 Ogos 2009


2.0 Definisi Etika

Perkataan seperti “etika”, “beretika”, dan “moral “ bukan hanya didengari di dewan kuliah sahaja dan ianya tidak dimonopoli oleh para cendikiawan. Di luar kalangan intelektual juga sering dibicarakan mengenai hal-hal tersebut. Jika kita membuka surat khabar atau majalah, hampir setiap hari kita menemui kata-kata tersebut. Contohnya ” Dalam dunia perniagaan etika terus merosot”, ”Etika dan Moral perlu ditegaskan kembali”, Di televisyen akhir-akhir ini banyak iklan yang tidak beretika” dan sebagainya.

Etika berasal daripada perkataan Yunani, iaitu ethos yang bermaksud hukum, adat resam, kebiasaan dan budi pekerti. Perkataan yang terdekat ”etika” ialah ”moral” . Bahasa Latin yang banyak mewarisi budaya Yunani pula menggunakan perkataan mores yang bererti kebiasaan atau adat. Mores ialah kata dasar bagi ”moral” yang ditakrifkan sebagai kesusilaan, adab , sopan santun, tradisi dan sebagainya yang menentukan piawai atau norma kelompok.

Berdasarkan definisi ethos dan mores, orang kemoralan atau etika merupakan sesuatu yang berkaitan dengan peraturan masyarakat. Peraturan masyarakat biasa juga dimaksudkan sebagai tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang larang masyarakat. Walau bagaimanapun, peraturan masyarakat wujud di luar diri individu. Peraturan juga bersifat maujud atau konkrit serta ditetapkan oleh autoriti dalam masyarakat tersebut.

Sebaga contohnya, peraturan masyarakat berkaitan konsep atau nilai berdikari, hormat menghormati, kasih sayang, kebersihan, saling bantu membantu, kerjasama, kesyukuran dan semangat bermasyarakat. Nilai atau peraturan ini ialah ukuran dan persetujuan masyarakat yang mesti diterima untuk menyekat perbuatan mencuri, sifat tamak, rasuah, kezaliman dan sebagainya. Nilai ini lebih mementingkan masyarakat, bukan individu sebagai matlamat etika atau kemoralan. Ini bermakna, dalam sesebuah masyarakat ada perkara yang diizinkan dan ada pula yang ditegah.

Istilah ”etika”, mengikut kamus lama dan kamus baru dapat disimpulkan kepada tiga erti berikut:

1. Kata ”etika” dapat digunakan dalam erti nilai dan norma moral yang menjadi pegangan seseorang atau sesuatu kelompok dalam mengatur tingkah lakunya. Contohnya, Jika seseorang membicarakan tentang ”etika agama Buddha”, ”etika Protestan”, maka tidak dimaksudkan ”ilmu”, melainkan erti pertama tadi. Ianya juga dapat dirumuskan sebagai ”sistem nilai” yang dapat berfungsi dalam hidup manusia individu mahupun tahap sosial.

2. Kata ”etika” juga bererti kumpulan asas atau nilai moral. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kod etika. Contohnya, dahulu ada diterbitkan sebuah kod etika untuk hospital yang diberi nama ” Etika Hospital”. Di sini ”etika” jelas dimaksudkan sebagai kod etika.

3. Kata”etika” juga bererti ilmu tentang yang baik atau buruk. Etika baru menjadi ilmu jika kemungkinan beretika (asas nilai yang dianggap baik dan buruk) yang diterima dalam suatu masyarakat. Ianya seringkali tanpa disedari telah menjadi bahan gambaran bagi suatu kajian sistematik dan bermetod. Etika di sini sama ertinya dengan falsafah moral.


2.1 Etika Dari perspektif Agama

Agama dan etika merupakan dua bidang yang saling berkait dan berhubungan. Kedua-duanya mempunyai matamat dan objektif yang sama iaitu untuk memastikan manusia dapat bertingkah laku baik sesuai dengan fitrah dan kejadiannya. Perbezaan antara keduanya ialah agama lebih menekankan kepada perhubungan yang lebih menyeluruh iaitu sangat mementingkan hubungan dengan Tuhan dan sesama manusia. Manakala etika dan moral lebih bersifat spesifik dan mementingkan hubungan khusus sesama manusia.


3.0 Konsep Asas Nilai

Moral adalah suatu nilai. Kita perlu memahami apakah yang dimaksudkan dengan nilai. Terdapat beberapa ciri nilai. Antaranya, nilai ditonjolkan secara lisan atau menerusi perlakuan individu atau sesuatu kumpulan. Contohnya, sesorang yang menghayati nilai tanggungjawab akan menunjukkan nilai tersebut dalam pertuturan dan perlakuannya. Dia juga akan mempertahankan nilai tanggungjawab pada dirinya serta mengkritik orang lain yang bersikap tidak bertanggungjawab.

Nilai juga mempunyai beberapa fungsi. Salah satu daripada fungsinya ialah nilai bertindak sebagai ukuran yang membantu individu mengenal pasti kedudukannya dalam sesuatu isu sosial atau moral. Nilai bukan sahaja memberi suatu tunjuk arah kepada seseorang tentang bagaimana dia patut berkelakuan terhadap orang lain, malah bagaimana untuk menentukan apakah yang harus dicabar, dihujah, diubah atau dipertahan. Tegasnya, nilai menyediakan satu piawai yang asas dan tekal(consistent) supaya dapat membantu individu dalam pemikiran dan perlakuannya(Feather, 1975; Rokeach, 1973) dalam (Abdul Rahman Md. Aroff,1999).

Selain daripada itu, nilai juga berfungsi sebagai satu panduan untuk menyelesaikan konflik serta membuat keputusan. Ini bermaksud, walaupun dalam situasi beberapa nilai mungkin berkonflik, keutamaan nilai seseorang itu akan membantunya menyelesaikan konflik yang dihadapi. Selain itu, nilai bukan hanya merangsang, malah menghadkan perlakuan seseorang. Ini bermaksud, sesorang itu akan bertindak mengikut nilainya sendiri dan tidak akan melakukan sesuatu yang dirasakan bercanggah dengan nilai yang dihayatinya.

Kita dapat membezakan sesuatu nilai berbanding nilai lain mengikut domain tertentu seperti berikut:

a) agama atau rohani (contoh: kesucian, kesyukuran)
b) ekonomi ( contoh: produktiviti, kejayaan)
c) estetika (contoh: keindahan, kejayaan)
d) intelek (contoh: cerdik, kreatif)
e) kebendaan dan fizikal (contoh: kesihatan, keselamatan)
f) moral (contoh: kejujuran, pemurah)
g) politik ( contoh: hak mengundi, patriotisme)
h) social (contoh: kejiranan, kepercayaan)


3.1 Perbezaan Nilai Moral dan Nilai Bukan Moral

Nilai moral merujuk nilai yang dianggap oleh individu atau kumpulan masyarakat sebagai nilai yang ’baik’ dan ’patut’ dari segi moral (Frankena, 1973) dalam (Abdul Rahman Md. Aroff,1999). Manakala nilai bukan moral dalam domain politik, ekonomi atau estetika, walaupun ’baik’, ia tiada kaitan dengan apa yang dianggap ’baik’ dan ’patut’ dari segi moral. Contohnya, nilai bertimbang rasa merupakan nilai moral, manakala nilai demokrasi ialah nilai politik. Kedua-duanya dianggap perkara baik.

Walau bagaimanapun, penting untuk difahami bahawa klasikal mengikut domain ini adalah fleksibel. Memang terdapat nilai moral yang berpunca darpada agama seperti tidak boleh bercakap bohong dan mencuri barang orang lain. Namun, nilai moral tidak meliputi semua nilai agama seperti kepercayaan dan meditasi. Selain itu, nilai moral sama dengan nilai sosial dari segi penggunaan isbat kepujian, kejian dan isyarat pertuturan lain yang menerima atau menolak perlakuan kita. Walau bagaimanapun, individu tidak akan bergantung kepada nilai sosial atau undang-undang dalam menentukan sama ada mencederakan seseorang adalah wajar atau salah dari segi moral. Berasaskan pentaakulan moral berhubung dengan kesan terhadap seseorang yang dicederakan , dengan tidak merujuk nilai sosial atau undang-undang, kita tidak akan mencederakan orang. Dalam konteks ini, persamaan dan perbezaan antara nilai moral dengan nilai bukan moral tertakluk kepada bagaimana sesuatu nilai itu digunakan oleh individu.


4.0 Sinopsis Filem ‘Bohsia’ (Jangan Pilih Jalan Hitam)

Filem ini mengisahkan mengenai kehidupan dua orang gadis yang bernama Tasha (lakonan Nabila Huda) dan Amy (lakonan Salina Saibi) yang menjadi mangsa kerakusan kekejaman manusia. Kehidupan kedua gadis ini tanpa pendidikan dan latar belakang keluarga yang sempurna. Tasha merupakan gadis yang menjadi mangsa perpecahan keluarga. Bapanya telah meninggalkannya bersama ibu dan ibunya mempunyai hubungan dengan ramai lelaki. Tasha telah dihalau keluar rumah oleh ibunya kerana sikap liarnya. Sementara Amy pula seorang gadis yang telah kehilangan ibu dan semenjak ibunya meninggal dunia, dia menjadi mangsa kebinatangan bapa kandungnya sendiri. Amy telah dirogol oleh bapanya Salleh (lakonan Nasir Bilal Khan) ketika dia masih di alam persekolahan. Bapa Amy seorang pemabuk dan ketagih bermain judi. Dia sanggup meminta wang daripada anaknya Amy untuk berjudi.

Kehidupan malang yang dialami oleh kedua gadis telah membuatkan Tasha dan Amy telah memilih untuk terjebak ke dalam dunia lumba haram motosikal yang sekaligus mengubah nasih kehidupan mereka. Tasha telah berkenalan dengan seorang lelaki yang bernama Mus ( lakonan Syamsul Yusof). Syamsul merupakan seorang Mat Rempit iaitu pelumba haram motosikal tetapi mempunyai sifat-sifat kemanusiaan dan baik hati. Amy pula mempunyai seorang kawan yang juga merupakaneorang pelumba haram motosikal iaitu Acai (lakonan Shaheizy Sham). Acai seorang pemuda yang mempunyai perwatakan kasar dan liar serta suka mengambil kesempatan terhadap ke atas kelemahan Amy.

Tasha dan Amy digelar perempuan ‘Bohsia’ kerana bebas bergaul dengan lelaki.
Kekasih lama Amy, Azam (lakonan Aaron Aziz, seorang bapa ayam telah muncul semula untuk memerangkap Amy supaya menjadi pelacur. Adik Azaml, Aishah (lakonan Diana Danielle) seorang yang berpelajaran tinggi dan mempunyai budi pekerti yang mulia. Aishah selalu berchatting dengan Mus tetapi masing-masing tidak mengenal antara satu sama lain. Setelah Mus mengetahui bahawa Aishah adalah seorang wanita yang berkerjaya , dia membohongi Aishah bahawa dia adalah seorang arkitek. Lama kelamaan Mus tidak sanggup berbohong lagi dengan Aishah setelah enam bulan berkenalan. Dia tidak mahu menipu Aishah dan ingin berterus terang secara ikhlas. Belum sempat Mus berbuat demikian, Aishah telah mengetahui siapa sebenarnya Mus. Aishah tidak mahu lagi berkawan dengan Mus kerana Mus telah menipunya dan Mus juga merupakan seorang Mat Rempit.

Setelah Mus mengetahui Aishah merupakan adik kepada Azam, seorang bapa ayam yang mencari gadis-gadis untuk dijadikan pelacur. Mus telah memberitahu Aishah tentang pekerjaan sebenar abangnya tetapi Aishah tidak mempercayainya. Lama kelamaan Aishah mengetahui pekerjaan sebenar abangnya dan membuatkan dirinya rasa kecewa.

Setelah Tasha mengetahui Mus telah keluar dengan Aishah, dia rasa kecewa dan memarahi Mus serta mencerca Aishah dengan kata-kata yang kesat. Mus naik marah lalu mengatakan Tasha hanyalah ”Bohsia’ baginya. Tasha kecewa dan mengambil dadah serta tidur dengan beberapa orang lelaki termasuklah Acai kawan Amy. Sementara Amy pula telah ditangkap oleh Azam dan dipaksa melacurkan diri.
Amy dapat melarikan diri dan pulang ke pangkuan ayahnya. Tetapi malangnya, setiba di rumah, ayahnya pula ingin merogolnya. Amy cuba mempertahankan diri dan akhirnya tanpa disedari Amy telah menikam ayahnya. Sementara Mus pula telah ditangkap polis kerana membelasah Acai yang merosakkan kehidupan Tasha.


4.1 Barisan Pelakon Filem ’Bohsia’

Salina Saibi sebagai Amy
Nabila Huda sebagai Tasha
Syamsul Yusof sebagai Mus
Shaheizy Sam sebagai Acai
Aaron Aziz sebagai Azam
Londo Zawawi sebagai Lan
Johan Lawak sebagai Din
Hani Julie sebagai Ros
Nasir Bilal Khan sebagai Salleh
Adam Corrie sebagai John
Kazar sebagai Boss Amy
Ifa Radziah sebagai Ibu Tasha
Bohsia 1 sebagai Raja Emmy Nazrin
Bohsia 11 sebagai Ellie
Bohjan 1 sebagai Boy
Bohjan 11 sebagai Fizi
Bohjan 111 sebagai Rock


5.0 Ulasan Filem ’Bohsia’ (Jangan Pilih Jalan Hitam)

FILEM Bohsia mempunyai jalan cerita menarik dan cukup dekat dengan jiwa penonton Malaysia. Malah mereka yang terbabit dalam perlumbaan haram seperti Mat Rempit dan Minah Rempit pasti menyukai filem arahan pengarah muda, Shamsul Yusuf ini. Tidak hairanlah mengapa kutipan filem ini berjaya mencecah RM3 juta dalam tempoh
lebih semingggu ditayangkan.

Walaupun filem ini mencecah jutaan ringgit , timbul perasaan tidak senang hati dan kecewa selepas menyaksikan filem ini. Filem ’Bohsia’ seolah-olah telah menjatuhkan maruah bangsa Melayu. Berbanding dengan filem-filem yang terdahulu, yang mengangkat dan mengagungkan bangsa Melayu seperti filem Hang Tuah.

Filem Bohsia banyak memaparkan babak-babak yang negatif bertentangan dengan etika dan moral masyarakat. Di antara babak-babak yang menunjukkan kesan negatif dan menyalahi tata susila masyarakat adalah seperti berikut:

1) Adegan pembunuhan yang terdapat dalam filem merupakan adegan yang ganas dan melampau. Sebagai contoh, babak 'anak bunuh bapa' yang menjadi penutup cerita Bohsia. Walaupun, pembunuhan itu tidak disengajakan dan tujuan melindungi dirogol bapa sendiri, namun babak itu keterlaluan dan penyelesaiannya perlu ditonjolkan dengan cara lebih bijak.

2) Aksi panas membabitkan lumba haram motosikal. Aksi sebegini merupakan aksi yang tidak bermoral dan beretika dalam masyarakat kita dan menjadi kesalahan dari segi undang-undang jalan raya. Babak perlumbaan haram motosikal ini dapat kita tontoni di sepanjang penceritaan ini. Para remaja akan lebih cenderung meniru aksi berbahaya yang ditonton itu untuk membuktikan kehebatan masing-masing tanpa mempedulikan keselamatan.

3) Filem ini juga memaparkan aksi-aksi ganas seperti pergaduhan, pertengkaran, ejek-mengejek dan saling salah menyalahi antara satu sama lain. Babak-babak ini akan dapat kita saksikan pada setiap pertemuan antara Amy dan Tasha. Begitu juga dengan babak pergaduhan Acai dengan Azam dan babak pergaduhan antara Acai dan Mus. Adegan-adegan sedemikian merupakan adegan yang tidak bermoral dan beretika. Ia juga menunjukkan kerosakan akhlak di kalangan muda mudi. Babak-babak pergaduhan ini seolah-olah menunjukkan nasyarakat hari ini tidak mempunyai pertimbangan dalam setiap tindak-tanduknya dan pergaduhan menjadi jalan penyelesaian.

4) Kelemahan dalam institusi masyarakat Melayu dengan jelas apabila kebanyakan babak menunjukkan pergaulan bebas remaja yang bertentangan agama dan budaya.

5) Selain daripada itu, filem ini juga menunjukkan adegan-adegan yang panas seperti aksi rogol dan juga pasangan muda mudi yang bebas melakukan apa saja yang menyalahi dari segi agama, etika dan moral masyarakat. Babak sedemikian dapat kita saksikan ketika Amy dan Tasha serta kawan-kawannya pergi ke disko. Apa yang membimbangkan, adegan-adegan ini akan menjadi satu yang mengasyikkan dan perasaan ingin mencuba akan timbul dalam diri penonton.

6) Pakaian-pakaian yang ditonjolkan dalam filem ini juga sungguh menjolok mata dan tidak senonoh. Lebih-lebih lagi sebagai Muslim, etika berpakaian mestilah dititik beratkan. Dalam filem ini memperlihatkan kepada kita muda-mudi berpakaian yang tidak sepatutnya dan melanggar kesopanan dan adat resam masyarakat kita.

7) Filem ini juga menunjukkan kelemahan remaja yang sanggup menggadai maruah diri apabila ditimpa kesedihan. Seperti dalam babak Tasha yang menggadaikan maruahnya kerana inginkan dadah untuk melepaskan rasa kecewanya terhadap Mus. Ini menunujukkan perbuatan tersebut adalah tidak bermoral terhadap masyarakat kerana perbuatan tersebut menyalahi daripada pemupukan penghayatan dan amalan nilai murni yang terdapat dalam agama, budaya dan adat resam masyarakat Malaysia.

8) Dalam filem ini menunjukkan wujudnya institusi keluarga yang lemah. Keluarga tidak mempedulikan anak-anak menyebabkan anak-anak terbiar dan kurang kasih sayang. Contohnya dalam babak ibu Tasha menghalau Tasha keluar dari rumah dan babak seorang bapa sanggup merogol anaknya sendiri. Adegan sedemikian tidak dapat diterima dalam masyarakat kita kerana sepatutnya ibu dan bapa menjadi pelindung kepada anak-anaknya bukannya memusnahkan kehidupan mereka.

9) ’Bohsia ’ juga memaparkan remaja yang berakhlak buruk, tidak menghormati orang tua dan sanggup memukul orang tua. Adegan ini dapat kita lihat ketika ayah Amy mencari Amy di tempat Amy dan kawan-kawannya berkumpul untuk meminta duit darinya. Tanpa berasa belas kasihan terhadap orang tua, Acai telah memukul ayah Amy. Dalam masyarakat kita, orang tua merupakan orang yang perlu dihormati.

10) Dalam filem ini juga menunjukkan kepada kita masyarakat yang tidak bermoral sanggup menjadi bapa ayam dan merosakkan masyarakatnya sendiri kerana mengejar kemewahan hidup. Watak ini dapat kita lihat melalui watak Azam dalam filem ’Bohsia’ ini yang ingin menjadikan Amy sebagai pelacur.

11) Selain daripada aksi-aksi panas, adegan-adegan yang menjolok mata dan pergaulan bebas muda-mudi, dalam filem Bohsia ini juga dapat kita lihat banyak berlakunya pencemaran bahasa, bahasa yang kasar, mencaruk dan perkataan berbaur lucah dipertuturkan. Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan dan merosakkan bahasa kita tetapi menunjukkan masyarakat kita tidak beretika, tidak bermoral dan tidak mengamalkan nilai-nilai murni. Antara dialog-dialog yang sedemikian adalah seperti berikut:

i) Tasha (Nabila Huda) telah menuturkan dialog ini pada Amy (Salina Saibi) ” Ni, apa hal ni minah sorang ni, tercangak macam orang bangang”
- Dialog ini diperkatakan pada awal penceritaan semasa di lokasi lumba
haram.

ii) ” Balak kau mana ?” tanya Amy kepada Tasha

iii) ” Suka hati akulah, gua nak roman tepi jalan ke, lu blah lah. ” Kata Tasha pada Lan

iv) ” Suka hati mak bapak dialah” Kata Amy kepada Acai

v) ” Eh, mangkuk tu buka game tak ajak aku.” Kata Mus kepada Lan

vi) ” Mangkuklah lu, bodoh betul!” Kata Mus kepada Lan

vii) ” Kau jangan nak beriya-iya sangat dengan balak lu tu, Balak kau tu pun bukan nakkan kau pun!..., kau tu penyedap dia saja tu!.... ” Kata Tasha pada Amy

viii) ” Suka hati aku nak jadi penyedap, kau tak sedap ke?”..... Kata Amy kepada Tasha.

ix) Pergaduhan berlaku di antara Amy dan Tasha. Amy berkata kepada Tasha ” Sial betul...”.

x) Pada masa yang sama Acai berkata ” Kalau nak gaduh, gaduhlah atas katil . Eh, eh, bukan apa, kalau gaduh atas katil, lembutlah sikit ”.

xi) Kata Tasha kepada Acai ” Kau cakap dengan penyedap kau tu, dia apa hal nak serang-serang gua?”

xii) ” Mampus kau” Kata Amy kepada Tasha

xiii) Semasa berada di pusat hiburan (disko), Mus berkata kepada Tasha
” Kau ni mangkuklah, tahu tak? Kau boleh biarkan saja mamat tu raba engkau semua, sedap saja kan!...”


xiv) Acai berkata kepada Amy setelah kalah dalam lumba haram, ” Aku kalah
tadi sebab jamban kau besar. Tahu tak tadi, bila aku bawa motor macam
bawa Astro pintu belakang kau tu!.... mana tak semput motor aku”.

xv) Semasa bapa Amy (Salleh) cuba merogol anaknya Amy, dia berkata
” Kalau aku tak tidur dengan kau pun, tak ada bezalah!...., Dekat luarpun
perangai kau macam syaitan ”.

xi) Semasa berlaku perang mulut antara Tasha dan Amy. Amy berkata
kepada Acai. ” Eh, kau banganglah, apasal kau tak belasah bohsia
katek tu!.....”

Penggunaan bahasa-bahasa yang sedemikian menunjukkan masyarakat kita menyalahi kehidupan masyarakat yang sebenar yang menjaga tatasusila ketika menuturkan sesuatu. Percakapan yang lemah lembut, berbudi bahasa, dan sopan santun merupakan nilai dan moral yang diamalkan dalam masyarakat kita. Jika kehidupan kita tidak mengikut nilai dan amalan tersebut maka ia dianggap tidak bermoral dan tidak beretika. James Hamming (1980) menyatakan bahawa masyarakat mestilah diterima sebagai kehidupan masyarakat.

Walaupun banyak adegan-adegan negatif yang terdapat dalam filem ‘Bohsia’ ini terdapat juga babak-babak yang mempamerkan perlakuan yang beretika, bermoral serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam filem ini. Ini dapat kita lihat melalui tingkah laku Aishah lakonan Diana Danielle yang melakonkan watak wanita yang lemah lembut, kuat berusaha dan baik hati serta sayangkan keluarga. Begitu juga dengan watak yang dimainkan oleh Mus lakonan Syamsul Yusof iaitu seorang Mat Rempit yang mempunyai hati yang ikhlas dan tidak suka mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Nilai-nilai positif ini dapat kita lihat melalui watak-watak berikut:

1) Watak wanita lemah lembut dapat kita perhatikan melalui lakonan Aishah. Dia merupakan wanita yang bersopan santun dalam gerak gerinya dan sangat bersopan ketika becakap dengan orang.

2) Aishah juga merupakan seorang wanita yang penyayang. Ini dapt kita lihat ketika babak abangnya Azam dipukul oleh Acai, dia sanggup meninggalkan pertemuan pertamanya dengan Mus apabila mendengar abangnya dipukul. Aishah juga tidak mempercayai apabila Mus mengatakan abangnya seorang bapa ayam dan sanggup meninggalkan Mus.

3) Watak Aishah dalam filem ’Bohsia’ menunjukkan seorang wanita yang kuat berusaha. Ini dapat kita saksikan melalui babak kekesalan Aishah terhadap abangnya yang menjadi bapa ayam kerana mengejar kemewahan sedangkan Aishah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar impiannya walaupun dia berasal dari keluarga yang susah.

4) Watak Aishah juga memperlihatkan kepada kita sebagai seorang yang ikhlas dan tidak malu untuk memohon maaf di atas kesalahannya. Babak ini dapat kita saksikan apabila Aishah mengundurkan kereta, tanpa disedari dia telah terlanggar Tasha ketika Tasha asyik bersembang dengan kawan-kawannya tanpa mempedulikan keadaan sekelilingnya.

5) Watak Ikhlas dan menghormati orang tua juga dapat kita lihat melalui sikap Mus. Mus seorang Mat Rempit tetapi dia menunjukkan sikapnya yang ikhlas dalam babak dia ingin berterus terang dengan Aishah siapa dia sebenarnya. Begitu juga dalam babak Acai memukul ayah Amy, Mus begitu marah dengan tindakan Acai.

6) Mus adalah seorang pemuda yang baik hati dan tidak mengambil kesempatan ke atas kelemahan orang lain. Babak ini dapat kita lihat di sepanjang perjalanan filem ini. Walaupun Mus baik dengan Tasha tetapi dia tidak pernah mengambil kesempatan di atas kelemahan Tasha.



6.0 Rumusan

Adalah menjadi tanggungjawab pengarah-pengarah filem untuk mengarah filem yang lebih memberi manfaat kepada masyarakat kita. Apa yang membimbangkan kita semua, babak-babak yang negatif ditonjolkan dalam sesebuah filem bukannya untuk dijadikan teladan bagi menghindarkan perkara tersebut tetapi sebaliknya menjadi ikutan kepada penonton contohnya aksi Mat Rempit ketika berlumba haram dan kehidupan muda-mudi yang bebas berfoya-foya.

Bagi menjaga maruah masyarakat kita dan memartabatkan filem kita, pengarah-pengarah filem diharapkan agar mengeluarkan filem yang bukan sahaja menghiburkan penonton tetapi boleh membuka minda masyarakat dan memberi contoh dan teladan yang baik untuk masyarakat itu sendiri. Sesuatu yang diluar penerimaan masyarakat adalah lebih baik diketepikan dan dielakkan agar ianya tidak mengganggu dan tidak diterima atau ditolak oleh peraturan sesebuah masyarakat.

Setiap filem yang dikeluarkan agar dapat memotivasikan masyarakat bukannya memberi contoh yang tidak baik kepada masyarakat. Peranan filem juga boleh mendidik masyarakat secara tidak formal melalui adegan-adegan yang mempunyai nilai dan moral yang baik. Ia boleh mendidik dari segi luaran dan juga dalaman masyarakat. Oleh itu, pengarah-pengarah filem diharapkan agar lebih bertanggung jawab untuk memenuhi kehendak-kehendak masyarakat demi menjaga kesusilaan, adat resam, dan akhlak yang baik yang akan mengharmonikan masyarakat bukannya mencari keuntungan semata-mata.

Tugasan PPB 2052
Oleh : Zalati Abdullah

BIBLIOGRAFI:

Abdul Rahman Md. Aroff (1999) , Pendidikan Moral- Teori Etika Amalan Moral,
Penerbit Universiti Putra Malaysia

Nazirmuddin Ahmad, Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang & Azita Yonus @ Ahmad(2005), Etika, Pustaka Salam Sdn. Bhd.

K. Bertens (2003), Etika dan Moral Untuk Pengajian Tinggi, Universiti Malaya

Mahzan Musa , Filem Melayu dan Mesej Sosial, Wings of Gold (Mac 1993)

Rohani Hashim, Memartabatkan Budaya Filem Melayu, Dewan Budaya (Ogos 1996)

http://www.sinemamalaysia.com.my/main/clippingnews/Filem_kita_dan_kesakitan!_ 2556
Ogos 2009

No comments:

Post a Comment